GAJAH liar yang merosakkan kebun penduduk di Kuala Krai berjaya ditangkap kelmarin. FOTO Ihsan Perhilitan.
GAJAH liar yang merosakkan kebun penduduk di Kuala Krai berjaya ditangkap kelmarin. FOTO Ihsan Perhilitan.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Gajah liar yang mengganggu kebun penduduk di Kampung Lata Rek, Kampung Laloh, Kampung Lela Jasa di Kuala Krai berjaya ditangkap, kelmarin.

Operasi dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Kuala Krai dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan di Kampung Laloh.

Dalam kenyataan dikeluarkan Perhilitan Kelantan berkata, dengan tertangkapnya gajah jantan itu, memberi kelegaan kepada penduduk, sekali gus mengurangkan kerugian berterusan dialami mereka.

"Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ini ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dilakukan pada Sabtu (hari ini) dengan bantuan gajah denak, Kasturi dan Sanum.

"Selain itu, bagi melancarkan operasi pemindahan, 12 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang serta 10 kakitangan Perhilitan Kelantan akan turut serta," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Perhilitan berkata, tangkapan itu bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun terletak berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Rek, yang menjadi habitat gajah liar dianggarkan lebih 20 ekor.

"Justeru adalah dinasihatkan agar pekebun mengambil langkah yang lebih efektif seperti membina parit gajah atau Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) yang mengikut spesifikasi di sekeliling kebun bagi mengurangkan konflik," katanya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:11 AM