RAMBAI dan Abot, dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, membantu Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dalam operasi pemindahan seekor gajah jantan di Kampung Tok Uban. FOTO BERNAMA

BERNAMA

Kuala Krai: Seekor gajah jantan liar dinamakan 'Awang Uban' yang menjadi kerisauan penduduk Kampung Tok Uban, Lata Rek di sini, berjaya dijinak dan dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, hari ini.

Ketua Operasi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, sebelum ini, gajah liar itu masuk ke perkampungan itu dari hutan simpan Lata Rek berdekatan untuk mencari sumber makanan.

"Kami berjaya menangkap 'Awang Uban' semalam selepas menerima aduan daripada penduduk setempat yang terserempak dengan haiwan liar itu selepas memasuki kebun mereka untuk mencari makanan.

"Kami menggunakan kaedah tembakan pelali bagi menangkap gajah itu di kawasan kebun penduduk," katanya kepada pemberita semasa operasi pemindahan gajah liar itu di sini, hari ini.

Mohamad Khairul Adha berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya melakukan operasi memindahkan gajah liar seberat 2.5 tan itu ke Taman Negara, Pahang.

ANGGOTA Perhilitan Kelantan dan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan berjaya memujuk ‘Awang Uban’ dengan bantuan dua ekor gajah denak. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Perhilitan Kelantan dan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan berjaya memujuk ‘Awang Uban’ dengan bantuan dua ekor gajah denak. FOTO BERNAMA

"Operasi pemindahan gajah itu membabitkan 25 anggota Perhilitan Kelantan, dibantu petugas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah.

"Kami turut menggunakan dua ekor gajah denak betina iaitu 'Rambai' dan 'Abot' semasa proses pemindahan dengan mengambil masa lima jam sebelum memindah gajah liar berusia 30 tahun itu," katanya.

Beliau berkata, kemusnahan habitat asal menyebabkan haiwan liar itu memasuki kawasan perkampungan untuk mencari makanan di kebun penduduk.

"Kami percaya masih terdapat sembilan hingga 10 lagi gajah liar dari kelompok sama yang berada di hutan simpan berdekatan berdasarkan maklumat yang diperoleh penduduk kampung," katanya.

KEMUSNAHAN habitat asal menyebabkan gajah ini memasuki kawasan perkampungan untuk mencari makanan di kebun penduduk. FOTO BERNAMA
KEMUSNAHAN habitat asal menyebabkan gajah ini memasuki kawasan perkampungan untuk mencari makanan di kebun penduduk. FOTO BERNAMA

Katanya, Perhilitan sentiasa melakukan peninjauan dan mengambil tindakan segera terhadap aduan berhubung haiwan liar itu yang memasuki kawasan kampung.

"Penduduk tidak perlu mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan gajah liar kerana tindakan sendiri berkemungkinan akan mendatangkan bahaya sebaliknya perlu membuat laporan kepada pihak kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:16 PM