PERHILITAN Kelantan menangkap tujuh gajah liar susulan aduan penduduk di Kampung Lawar, Jeli. FOTO ihsan PERHILITAN
PERHILITAN Kelantan menangkap tujuh gajah liar susulan aduan penduduk di Kampung Lawar, Jeli. FOTO ihsan PERHILITAN
Hazira Ahmad Zaidi

Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap tujuh gajah liar di kawasan kebun di Kampung Lawar dalam operasi yang dijalankan bermula 7 hingga 10 September lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, tangkapan lima gajah jantan dan dua betina dianggarkan berusia dalam lingkungan 3 hingga 30 tahun dijalankan susulan daripada aduan berterusan sejak 17 Ogos lalu mengenai gangguan gajah liar di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, pada 7 dan 8 September, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perhilitan Kelantan dengan kerjasama kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang berjaya menangkap lima gajah, manakala dua lagi gajah jantan berjaya ditangkap di lokasi yang sama pada 10 September lalu.

"Sekiranya kumpulan gajah liar ini tidak ditangkap ia boleh menjejaskan operasi pemindahan gajah liar dan mengancam keselamatan kakitangan Jabatan Perhilitan.

"Kumpulan gajah liar ini dipercayai daripada kumpulan gajah liar sama yang ditangkap berhampiran Kampung Bukit Ipoh, Jeli pada Ogos lalu.

"Tujuh gajah liar ini keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan ini juga dianggarkan lebih daripada 30 ekor," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, sebelum operasi tangkapan gajah liar dijalankan, pihaknya sudah mengambil tindakan seperti memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemasangan lampu LED biru dan juga kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar ini kembali semula ke hutan simpan berhampiran tetapi tidak berhasil.

"Oleh itu, pihak kami menjalankan operasi tangkap pindah bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat selain memastikan keselamatan gajah liar ini dan anggaran jumlah kerugian yang dialami penduduk adalah lebih kurang RM 90,100," katanya.

Katanya, operasi pemindahan kesemua gajah liar berkenaan dilakukan selama dua hari sehingga semalam membabitkan 35 kakitangan dari Jabatan Perhilitan Kelantan, Perak, Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.

"Dua gajah denak dari PKGK iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar ini yang akan dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan-Terengganu-Pahang," katanya.

Ady Ermanty Haniff berkata, operasi tangkap pindah gajah bukan penyelesaian jangka panjang terutamanya di kawasan kebun atau ladang yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

"Langkah mitigasi yang lebih efektif seperti pembinaan pagar elektrik gajah (SPEG) adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman.

"Walau bagaimanapun pembinaan SPEG ini hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jabatan Perhilitan untuk kesesuaian bagi mengelakkan sebarang kemalangan terhadap hidupan liar dan orang awam.

"Dalam masa sama, penduduk kampung dinasihatkan sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan tanaman mereka," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 1:09 PM