ANWAR berucap ketika hadir merasmikan Jualan Termurah Madani di Lembah Makanan Bandar Perda. FOTO Danial Saad
ANWAR berucap ketika hadir merasmikan Jualan Termurah Madani di Lembah Makanan Bandar Perda. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bersikap lebih tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang mengaut hasil negara dalam membolehkan lebih manfaat dapat diberikan kepada rakyat.

Anwar berkata, sekiranya beliau tegas, rompakan terhadap hasil negara dapat dihentikan dan harga barang yang melonjak tinggi juga dapat diturunkan.

"Pada tahun ini juga, saya kaji nak naikkan gaji penjawat awam sebab sudah 10 hingga 12 tahun tidak pernah naik. Untuk buat perkara ini, nak ambil duit dari mana?

"Jadi saya minta kawan-kawan faham mengapa ada kes saya tidak mahu tolak ansur, hang (awak), makilah berbakul-bakul pun, serangla guna apa pun tetapi saya tidak akan bertolak ansur dari perompak (hasil negara).

"PM (Perdana Menteri) kena tegas, kalau tegas harga barang turun, kalau tegas rompakan (hasil negara) dapat dihentikan," katanya ketika berucap sempena kunjungannya ke Program Jualan Termurah Madani di Lembah Makanan, Bandar Perda di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menegaskan bahawa apa yang dilakukannya bukan kerana dendam lama tetapi atas dasar semangatnya yang mahu memerangi individu yang mengaut keuntungan tidak kira pangkat, umur mahupun darjat.

"Kalau orang itu (ambil) rasuah dia patut bimbanglah, kalau tak rasuah dia tak perlu takut. Ini orang yang rasuah puluh-puluh bilion tak berani sentuh.

"Bila sarjan polis kena kes RM200, orang marah habis, saya tidak kata itu betul, kalau salah maka salahlah tetapi orang yang ambil RM10 bilion disebabkan kuasa tidak berani sentuh bahkan ada Ahli Parlimen sokong lagi. Siap kata dia orang tua, jadi kalau orang tua rompak boleh? Kalau orang tua rogol boleh? Ini hang belajar mana?

"Ni kata dendam, kes lama, kalau ambil RM200 saya boleh maafkan tetapi kes lama ambil RM20 bilion yang itu adalah duit rakyat," katanya.

Bagaimanapun, katanya perkara berhubung penguatkuasaan diserahkan kepada pihak berkaitan dan berterima kasih kepada semua agensi berkenaan yang bertindak tegas.

"Saya dah bagitau hang Datuk, Datuk Seri ka, Tan Sri ka, Tun ka, hang baik, kita salute (hormat) hang rompak, kita tangkap sumbat dalam penjara, tapi itu bukan kerja saya.

"Kerja polis tangkap, kerja SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat dan kerja Peguam Negara dakwa manakala kerja hakim putuskan, dan kerja Agong (YDPA) kalau nak kurangkan kes (pengampunan).

"Sebab itu, saya masih semangat dari masuk Permatang Pauh sejak 1982 sampai sekarang, kemudian Allah takdirkan saya jadi PM, saya nak guna ini bersihkan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:20 PM