BERNAMA

Permatang Pauh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memberi kerjasama termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terbabit dalam kes rasuah.

Anwar berkata, selama tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

"Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa)," katanya ketika berucap pada Kenduri Qurban di Masjid Jamek An-Nur Guar Perahu, Seberang Perai Tengah, dekat sini.

Pada masa yang sama, Anwar juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah berdendam dengan sesiapa serta mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah ketika ini.

"Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah.

"Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam)… kalau lakukannya, maknanya kita serupa sahaja (pimpinan dulu)," kata Anwar.

ANWAR sedia memberi kerjasama termasuk disiasat pihak berkuasa jika beliau didapati terbabit rasuah. FOTO Danial Saad.
ANWAR sedia memberi kerjasama termasuk disiasat pihak berkuasa jika beliau didapati terbabit rasuah. FOTO Danial Saad.

Perdana Menteri menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terbabit dalam kes rasuah.

Menurutnya, dalam perkara itu semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

Anwar berkata, komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, ini termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.

"Dalam kerajaan ada UMNO, Barisan Nasional, DAP, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) belum pernah saya dapat sekalipun apa-apa bantahan daripada mereka, sama ada untuk pembangunan umat Islam, tata kelola dan banteras rasuah.

"Saya dengar bantahan dari luar sahaja…tidak hadapi masalah sebab kita melakukan perbincangan. Maka berilah peluang kita mentadbir negara ini kerana ia hampir rosak. Siapa jadi menteri dan semua kaya-raya itu, kena tukar," kata Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 2:38 PM