MUHAMMAD Sanusi  bergambar bersama pemenang pingat pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan Sukan SEA 2023 Cambodia, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi bergambar bersama pemenang pingat pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan Sukan SEA 2023 Cambodia, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan Kedah membentuk satu jawatankuasa khas dalam usaha mengukuhkan lagi undang-undang syariah di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji tindakan seterusnya yang akan diambil selepas semakan mendapati tujuh seksyen di bawah enakmen jenayah syariah Kedah adalah sama dengan di Kelantan, yang diputuskan sebagai tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan.

Katanya, jawatankuasa itu terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta pihak lain yang berkaitan.

"Tengoklah di mana ruang yang boleh kita ambil segera untuk undang-undang syariah didaulatkan, tidak lagi perlu tunduk kepada undang undang sivil kena saling melengkapi, bukan saling bersaing, itu yang kita hendaklah.

"Saya percaya pihak pendakwa raya tidak akan meneruskan untuk mendakwa pesalah di bawah seksyen berkenaan kerana defendan akan menggunakan keputusan (Mahkamah Persekutuan) untuk mencabar kes pendakwaan itu, jadi ini akan memberi kesan kepada semua negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Kepada Pemenang Pingat pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan Sukan SEA 2023 Cambodia di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata pembatalan undang-undang itu boleh berlaku berikutan penafsiran undang-undang yang berbeza oleh pengamal undang-undang pada masa dahulu dan sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 9:00 PM