MUHAMMAD Fathi Yusof
MUHAMMAD Fathi Yusof
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis digesa mengambil tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Persekutuan berkaitan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu dinyatakan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang turut menyenaraikan lima lagi tindakan segera yang perlu diambil kesan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang diputuskan Jumaat lalu.

Katanya, KDN dan polis juga perlu mengambil tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Persekutuan berkaitan 16 kesalahan yang serupa dengan undang-undang yang tidak lagi mempunyai kesan dari Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri akibat kes Nik Elin.

"Kerajaan juga perlu segera mewujudkan satu mekanisme penyelarasan penguatkuasaan jenayah antara pihak-pihak berkuasa agama dan polis agar keputusan kes Nik Elin ini tidak menyebabkan wujudnya kelompangan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah yang digugurkan dari Enakmen Jenayah Syariah dan kesalahan-kesalahan lain yang wajar ditangani secara bersama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (seksyen 16).

Muhammad Fathi yang juga Profesor Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia turut menggesa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bertindak dengan lebih pantas dan bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan undang-undang Islam di negara ini termasuklah dalam menangani implikasi negatif keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin.

Beliau turut mencadangkan MKI menubuhkan Jawatankuasa Khas Harmonisasi Undang-undang Persekutuan, bagi menggerakkan usaha menerapkan prinsip Islam dalam sistem perundangan di peringkat Persekutuan secara sistematik dan strategik.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa semua pihak agar tidak menganggap perundangan Islam sebagai wilayah kekuasaan khusus pihak berkuasa negeri, tetapi sebagai satu amanah yang dipikul secara bersama di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk memperkenalkan undang-undang berteraskan Islam tanpa diikat dengan tapisan birokrasi yang melambatkan usaha memartabatkan syariat Allah di bumi Malaysia," katanya.

Seterusnya, beliau mencadangkan diwujudkan kesatuan dan kebersamaan seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan latar belakang politik dan pemikiran perlu menjadi keutamaan dalam memartabatkan perundangan Islam di Malaysia.

"Rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan mengetepikan sempadan politik demi kepentingan Islam amat-amat diharapkan," katanya.

Muhammad Fathi menegaskan kes Nik Elin perlu membuka mata umat Islam mengenai kewujudan usaha berterusan segelintir manusia berfikiran liberal dan sekular untuk memadamkan sinar agama Allah.

"Kumpulan ini tidak pernah berhenti untuk merangka langkah demi langkah. Kes Nik Elin bukan penamat bagi mereka. Bersedialah dengan langkah mereka berikutnya.

"Dalam masa yang sama, Muhammad Fathi menegaskan definisi 'jenayah Syariah' menurut prinsip syariah yang sebenar adalah meliputi semua jenis jenayah kerana syariat Islam bersifat syumul atau menyeluruh.

"Justeru, kesalahan seperti rasuah, menculik, menipu, memukul, menyeleweng duit, merosakkan alam sekitar dan lain-lain adalah jenayah menurut syariah.

"Jadi sempadan sebenar jenayah Syariah untuk dibandingkan dengan jenayah sivil sebenarnya tidak wujud. Oleh itu, sempadan yang wujud hakikatnya ialah sempadan antara bidang kuasa negeri dan Persekutuan.

"Atas sebab itu, sudut pandangan perjuangan membela syariah perlu diluaskan dan tidak terperangkap kepada istilah 'syariah' pada perkataan 'Mahkamah Syariah', dan istilah 'undang-undang Islam' di bawah bidang kuasa negeri dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan.

"Tanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam hakikatnya berada pada kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau turut mengingatkan perbincangan berkaitan kes Nik Elin ini tidak terlalu berbentuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak atau mengeluh dengan kuasa perundangan yang terhakis terutamanya di pihak kerajaan negeri.

Namun, katanya,apa yang perlu diutamakan ialah tindakan proaktif yang membuka jalan melaksanakan Syariah yang lebih meluas di peringkat yang lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 12:00 PM