Datuk Seri Mohamad Sabu. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Mohamad Sabu. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam perlu diperkasakan sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri dan Wilayah Persekutuan.

Presiden parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Jawatankuasa Khas itu digesa berbuat demikian bagi memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Menurutnya, gesaan itu dibuat bagi membolehkan sebarang pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan membabitkan semua wakil negeri dan Persekutuan.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Nik Elin Zurina yang mana 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal kerana ia melangkaui bidang kuasa negeri seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 4(1) menyatakan dengan jelas bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang.

"Fungsi mahkamah ini harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

"Maka, apa-apa dakwaan bahawa keputusan kes itu menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan ia satu permainan sentimen yang mengelirukan oleh sesetengah pihak," katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, keputusan itu juga tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa mahkamah syariah.

"Undang-undang syariah tetap akan diperjuangkan Amanah untuk diperkasakan supaya kedudukan dan pelaksanaan setiap undang-undang syariah dijalankan secara berhikmah, harmoni dan selamat tanpa terbatal kerana tidak berperlembagaan," katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu, hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Terdahulu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Jawatankuasa Khas itu yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 12:16 PM