MUSA Awang. FOTO Arkib NSTP
MUSA Awang. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berpandangan cadangan pindaan enakmen kanun jenayah syariah perlu diselaraskan di peringkat Persekutuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Presidennya Musa Awang berkata, pindaan itu perlu datang daripada negeri berkenaan kerana hanya negeri itu lebih tahu masalah uruf masyarakat masing-masing.

"Keputusan Nik Elin Zurina Abdul Rashid boleh dijadikan pencetus untuk memperkasakan lagi undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini khususnya di negeri.

"Negeri juga seharusnya menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji perkara ini dengan memanggil semua pemegang taruh berkaitan dan semua pihak yang terbabit dengan Mahkamah Syariah untuk sama-sama berbincang dan menilai langkah ke hadapan bagi pemerkasaan Mahkamah Syariah negeri termasuk melakukan apa-apa pindaan undang-undang di negeri. .

"Di peringkat Persekutuan, kerajaan pun menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

"Maka kita serahkan kepada jawatankuasa ini untuk mengemukakan cadangan yang berkaitan," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Menurutnya, prosedur dan tatakelola yang tidak seragam di beberapa negeri agak 'meletihkan dan memenatkan' pengamal undang-undang mahkamah syariah.

"Secara peribadi, pengalaman saya beramal di beberapa negeri, prosedur dan tatakelola yang tidak selaras antara negeri, agak meletihkan dan memenatkan kami pengamal undang-undang di Mahkamah Syariah.

"Contoh mudah, tuntutan pengesahan lafaz cerai atau poligami, ada negeri yang memulakan prosiding dengan saman dan pernyataan tuntutan, tetapi ada juga negeri yang menggunakan permohonan dan afidavit. Mengapa perkara sekecil ini tidak dapat kita diselaraskan," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha yang kedua-duanya adalah peguam dan anak jati Kelantan.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat keputusan berbeza berdasarkan locus standi.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:12 PM