GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 12,846 pengarah syarikat dan 179,719 individu disekat perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal membayar tunggakan cukai setakat 31 Disember lalu.

LHDN dalam kenyataannya berkata, menjelang cuti persekolahan sesi 2023/ 2024, pastinya pelbagai perancangan percutian direncanakan rakyat Malaysia.

"Namun dalam keseronokan merancang percutian, LHDN ingin mengingatkan pembayar cukai menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dahulu supaya percutian ke luar negara tidak tergendala.

"Untuk makluman, tindakan sekatan perjalanan mengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah diambil ke atas mana-mana individu yang tidak menjelaskan tunggakan cukai

"Sehingga 31 Disember 2023, bilangan kes sekatan perjalanan membabitkan pengarah syarikat adalah sebanyak 12,846 kes manakala individu adalah sebanyak 179,719 kes," katanya hari ini.

Menurut LHDN, bagi menyemak status semasa percukaian, pembayar cukai boleh melayari portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan juga semakan status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

"Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

"Melalui pendekatan Awareness, Education, Services (AES) dalam pelaksanaan operasi percukaian, kita sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudahcara kepada pembayar cukai," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100(Luar Negara); HASiL Live Chat; danBorang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/ Public/.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 8:12 PM