LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia. FOTO arkib NSTP
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melaksanakan pemusatan dan pemencaran fail pembayar cukai bagi kategori tertentu selaras dengan dasar kerajaan berhubung layanan cukai bagi perusahaan kecil dan sederhana berkuatkuasa 1 Januari lalu.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan itu juga sebagai memenuhi keperluan Garis Panduan Pindahan Harga 2012 selain memastikan pengurusan fail pembayar cukai lebih teratur, cekap dan sentiasa dikemaskini berdasarkan keperluan semasa.

Menurut kenyataan itu, kriteria fail pembayar cukai yang terbabit terbahagi kepada enam kategori iaitu pertama; fail pembayar cukai syarikat di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jumlah perolehan sebenar (perolehan/ jualan, pendapatan perniagaan lain, pendapatan lain dan keuntungan tidak dikenakan cukai) sekurang-kurangnya RM50 juta setahun, kedua; fail pembayar cukai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan Persekutuan dari seluruh cawangan LHDNM di Semenanjung Malaysia.

Ketiga; fail pembayar cukai syarikat yang mempunyai transaksi dengan syarikat berkaitan di luar Malaysia mengikut ambang tertentu, keempat; fail pembayar cukai syarikat berkaitan industri huluan atau hiliran petroleum, aktiviti insurans atau takaful dan kewangan (tidak termasuk institusi kewangan yang beribu pejabat di Sabah dan Sarawak).

Kelima; fail pembayar cukai Individu (OG dan SG) termasuk individu berprofil tinggi dari Cawangan Pembayar Cukai Besar dan keenam; fail pembayar cukai yang menggunakan poskod 47100 hingga 47190 (Kinrara dan Puchong) yang kini diuruskan oleh LHDNM cawangan Petaling Jaya.

"Hampir 97,000 fail cukai akan terlibat dengan proses pemusatan dan pemencaran ini dengan setiap pembayar cukai berkenaan akan dimaklumkan secara berperingkat melalui emel atau surat (bagi pembayar cukai yang tidak mempunyai emel)," kata LHDNM.

Katanya, semakan notis pemakluman juga boleh dibuat menerusi aplikasi MyTax.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 3:12 PM