Semak status sekatan perjalanan anda bagi mengelak terkandas dan gambar kanan, senarai nombor telefon untuk semakan selain melalui dalam talian LHDN. - Foto Fail/LHDN
Semak status sekatan perjalanan anda bagi mengelak terkandas dan gambar kanan, senarai nombor telefon untuk semakan selain melalui dalam talian LHDN. - Foto Fail/LHDN
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Orang ramai yang merancang bercuti ke luar negara pada musim cuti sekolah ini dinasihatkan membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu bagi mengelakkan terkandas di lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, semakan itu perlu bagi mengelak kesulitan di kaunter imigresen dan semua pintu keluar negara kerana jika ada sekatan, mereka perlu menjelaskan tunggakan cukai terlebih dahulu.

"Ia boleh dilakukan melalui laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) http://sspi2.imi.gov.my.

"Pemberitahuan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai turut dikeluarkan kepada pembayar cukai secara pos berdaftar dan dihantar ke alamat mereka yang berdaftar dengan LHDN," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shukor berkata, sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan LHDN berdasarkan peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Katanya, tindakan juga berdasarkan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan sudah diberikan.

"Pembayar cukai yang disekat ke luar negara perlu membuat permohonan pelepasan daripada sekatan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 3:59 PM