Bangunan LHDN di Cyberjaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Bangunan LHDN di Cyberjaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sistem e-TT (e-Pindahan Telegrafik) akan diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 April ini.

LHDN dalam kenyataan memaklumkan, sistem e-TT diperkenalkan bagi bayaran Cukai Pendapatan, Cukai Petroleum, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Bayaran Kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara) dan Cukai Pegangan melalui kaedah Pindahan Telegrafik (Telegraphic Transfer), Pindahan Dana Elektronik (EFT) dan Pindahan Giro Antara Bank (IBG) dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, e-TT adalah sistem yang akan menjana Nombor Akaun Maya sebagai identiti pengenalan bayaran.

"Pembayar cukai yang ingin membuat bayaran cukai menerusi kaedah pindahan telegrafik (TT) dari dalam dan luar negara dikehendaki untuk mengakses Sistem e-TT.

"Sistem itu boleh dicapai dengan melayari portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, menerusi pengenalan Sistem e-TT, empat jenis bayaran iaitu Kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara), Cukai Pegangan dan CKHT – Pegangan Cukai 3 peratus oleh Pemeroleh Aset (Seksyen 21B, ACKHT 1976) yang kini hanya boleh dibuat di kaunter bayaran LHDN kini boleh dibuat menerusi kaedah e-bayaran.

Tambahnya, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Sistem e-TT boleh diperoleh menerusi portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.

"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 bagi pemanggil dari Luar Negara.

"Selain itu, orang ramai boleh menggunakan HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 1:12 PM