PEKERJA yang ditahan ketika sedang leka melakukan proses pemindahan LPG. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEKERJA yang ditahan ketika sedang leka melakukan proses pemindahan LPG. FOTO Ihsan KPDNHEP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kegiatan menyeleweng gas petroleum cecair bersubsidi terbongkar berikutan kekerapan lori yang membawanya dilihat keluar dan masuk sebuah premis dalam keadaan mencurigakan di kawasan perindustrian di Sepang, di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kegiatan itu dibongkar oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang, Jumaat malam menerusi Ops Gasak.

"Sebuah lot kedai digempur berikutan terdapat aktiviti pemindahan gas petroleum cecair bersubsidi ke silinder LPG industri dalam serbuan 10.30 malam.

"Serbuan dilakukan hasil makluman awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh Seksyen Penguat Kuasa pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang yang mengesyaki dan curiga dengan aktiviti yang dijalankan berikutan hampir setiap hari lori membawa gas petroleum cecair keluar dan masuk ke premis berkenaan.

"Ketika serbuan dijalankan, tiga warga asing tanpa pengenalan diri disyaki dua warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh sedang leka mengalihkan silinder LPG untuk proses pemindahan (Decanting)," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhamad Zikril Azan berkata, siasatan mendapati premis haram terbabit sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.

"Gas petroleum cecair bersubsidi yang disalin kulitnya dipasarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang iaitu ke kilang-kilang dan juga restoran makanan dan minuman dengan keuntungan berlipat kali ganda.

"Premis haram terbabit dikatakan menerima anggaran sejumlah 900 silinder gas petroleum bersubsidi setiap bulan bagi tujuan pemindahan ke silinder industri.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kilang berkenaan, pasukan serbuan menemui sejumlah 39 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14 kilogram (kg) yang berisi, 95 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14 kg yang tidak berisi, 30 silinder gas petroleum cecair 50 kg berisi serta 80 silinder gas petroleum cecair 50 kg tidak berisi," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut menyita sebuah lori jenis Daihatsu yang digunakan untuk mengangkut gas petroleum cecair bersubsidi berkenaan ketika kejadian.

"KPDNHEP Selangor turut menyita peralatan pemindahan gas petroleum cecair seperti sambungan paip, penimbang digital dan ketulan ais yang digunakan sebagai proses tindakbalas tekanan untuk menarik isi kandungan gas petroleum cecair bersubsidi ke silinder industri.

"Nilai rampasan bagi kesemua barangan yang disita mencecah hampir RM40,000. Turut ditemui dilokasi kejadian adalah dokumen kebenaran bagi merentas negeri bagi tujuan penghantaran LPG ini.

"Kita mengesyaki gas petroleum cecair bersubsidi ini dibekalkan oleh pembekal yang berpengkalan di Negeri Sembilan berdasarkan dokumen terbabit," katanya.

Menurutnya, kerajaan kehilangan kira-kira RM40,000 nilai subsidi kesan daripada aktiviti penyelewengan sejak dua bulan lalu oleh sindiket terbabit.

"Bagaimanapun, nilai subsidi yang berjaya diselamatkan pada serbuan yang dijalankan itu berjumlah RM3,000. Ketiga-tiga suspek warga asing yang ditahan mendakwa mereka hanya pekerja di premis itu.

"Ketiga-tiga suspek kini direman bagi siasatan lanjut terhadap kes terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 11:58 AM