KPDNHEP berjaya merampas 201 tong silinder berisi cecair LPG dan tong LPG kosong bersaiz 14 kilogram (kg) dan 12 kg.
KPDNHEP berjaya merampas 201 tong silinder berisi cecair LPG dan tong LPG kosong bersaiz 14 kilogram (kg) dan 12 kg.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Tidak ubah seperti 'gudang bom' apabila sebuah stor dijadikan lokasi menyembunyikan beratus tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi secara haram.

Kegiatan penyelewengan LPG bersubsidi itu dibongkar apabila sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu premis terletak di Taman Putra Perdana, Puchong di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang kelmarin mendapati pemilik premis gagal mengemukakan lesen menyimpan barang kawalan berjadual LPG.

Katanya, susulan itu pihak KPDNHEP berjaya merampas 201 tong silinder berisi cecair LPG dan tong LPG kosong bersaiz 14 kilogram (kg) dan 12 kg.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan kami menemui dua lori yang digunakan untuk tujuan penghantaran gas sekitar Puchong di sini. Nilai rampasan bagi gas yang dirampas mencecah RM19,040," katanya.

Aminuddin berkata, salah seorang individu ditahan memaklumkan LPG subsidi itu dihantar kepada pelanggan sekitar bandar Puchong.

"Premis itu sentiasa tertutup dan berkunci bagi mengelakkannya dikesan KPDNHEP. Tindakan menyimpan tong LPG secara haram boleh mendatangkan malapetaka sekiranya berlaku kebakaran atau litar pintas," katanya.

Aminuddin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM 1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM 3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 9:55 PM