Lokasi penemuan mangsa lemas di Sungai Kenjur, dekat Kampung Koh. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Lokasi penemuan mangsa lemas di Sungai Kenjur, dekat Kampung Koh. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Tapah: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi kanak-kanak yang hilang akibat dihanyutkan kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor, di sini disambung semula pada 8 pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, 50 anggota penyelamat dari pelbagai agensi diketuai bomba bersama unit anjing pengesan K9 dipecahkan kepada lima kumpulan.

Menurutnya, pencarian pagi ini akan memfokuskan teknik pencarian mengikut arus sungai ke hilir, dalam radius kawasan sejauh enam kilometer (km) dari lokasi perkelahan mangsa.

"Anggota dipecahkan ke lima lokasi yang dikenal pasti di mana setiap kumpulan akan meliputi satu km.

"Dua bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan BBP Slim River ditempatkan di BBP Bidor untuk kegunaan operasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan hajat empat beranak untuk berkelah bertukar tragedi apabila si ibu, Aszura Bani, 37, ditemukan lemas, manakala tiga anaknya hilang akibat dihanyutkan kepala air semasa beriadah di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, di sini, 4.30 petang semalam.

Selang lebih jam kemudian, mangsa kedua, Hafif Muhayat Azam, 4, ditemukan lemas oleh penduduk kampung pada 9.50 malam tadi.

Dua lagi anak Aszura yang masih hilang ialah Hanna Mikayla Azam, 7, dan Hanum Marissa Azam, 2.

Selain mereka, tiga lagi individu ditemukan selamat iaitu kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38; anak saudaranya yang berusia 11 tahun dan pembantu rumah warga Indonesia, 30-an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 9:31 AM