Muhamad Lokman Khairi


Tapah: "Menggigil, perasaan saya saya takut bercampur sedih semasa pegang kaki kanak-kanak itu," kata penduduk kampung, Muhd Izwan Nordin yang menemukan Hafif Muhayat Azam, 4, mangsa kedua kejadian kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor, di sini, malam ini.

Muhd Izwan, 26, berkata, dia bersama 13 lagi penduduk kampung nekad melakukan pencarian secara sukarela bermula jam 9.30 malam.

Menurutnya, semasa menyelam dalam sungai berkenaan, beliau terdetik untuk memeriksa dasar sungai berdekatan sebatang pokok tumbang.

"Apabila saya menyelam pada kedalaman kira-kira setengah meter, saya ternampak objek berwarna putih.

"Saya terus pegang untuk pastikannya dan memang betul ia kaki kanak-kanak. Saya dapati keadaannya dalam keadaan mengiring dan tersangkut di bawah akar pokok tumbang berkenaan.

"Perasaan ketika itu bercampur-baur antara sedih dan takut sambil saya panggil rakan-rakan lain untuk bantu angkat dan keluarkan jenazah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, malam ini.

Mayat Hafif Muhayat, 4, ditemukan pada 9.50 malam

Muhd Izwan yang bekerja sebagai buruh sawit berkata, itu adalah pengalaman pertamanya mengikuti operasi pencarian mangsa hilang.

"Setahu saya, kejadian kepala air di sini memang pernah berlaku, namun ini mungkin kali pertama yang menyebabkan kehilangan nyawa," katanya.

Terdahulu, media melaporkan hajat empat beranak untuk berkelah bertukar tragedi apabila si ibu, Aszura Bani, 37, ditemukan lemas manakala tiga anaknya hilang akibat dihanyutkan kepala air semasa beriadah di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, di sini.

Dua lagi anak Aszura yang masih hilang ialah Hanna Mikayla, 7, dan Hanum Marissa, 2.

Selain mereka, tiga lagi individu ditemukan selamat iaitu kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38, anak saudara, 11, dan pembantu rumah warga Indonesia, 30-an.

Berita berkaitan:

  • Mayat kanak-kanak mangsa kepala air Sungai Kenjur ditemukan
  • Tragedi kepala air: Ibu lemas, 3 anak masih hilang
  • Wanita ditemukan lemas, empat termasuk budak hilang dalam tragedi kepala air
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:49 AM
    MUHD Izwan yang menemukan mayat Hafif Muhayat mangsa kedua kejadian kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor, di sini, malam ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
    MUHD Izwan yang menemukan mayat Hafif Muhayat mangsa kedua kejadian kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor, di sini, malam ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi