MUHAMMAD Faizal (tengah) memberikan penghormatan terakhir kepada kakaknya, Aszura. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MUHAMMAD Faizal (tengah) memberikan penghormatan terakhir kepada kakaknya, Aszura. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Tapah: Jenazah Aszura Bani, 37, yang terkorban akibat kejadian kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh Bidor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, hari ini.

Allahyarhamah disolatkan di Masjid Al-Muhtadin Bidor kira-kira 11.30 pagi tadi dan selesai dikebumikan 12.20 tengah hari.

Jenazah anak Aszura iaitu Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7, masih di Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan proses pengurusan jenazah.

Difahamkan, jenazah tiga kanak-kanak itu akan dibawa ke Masjid Al-Muhtadin Bidor selepas Asar hari ini, kemudiannya dikebumikan di sisi pusara ibu mereka.

Adik kepada Aszura, Muhammad Faizal Bani, 36, berkata, keluarga mereka memang selalu berkelah di kawasan Sungai Kenjur sebelum ini, namun tidak pernah menyangka kawasan terbabit berisiko terjadi kepala air.

"Satu jam sebelum kejadian, saya mesej dia. Tapi dia cuma balas salam dan minta saya tunggu sebentar.

"Tak lama selepas itu, saya terima berita dia ditemukan lemas dan tiga anak buah saya masih hilang.

"Sepatutnya saya merancang berjumpa dengan arwah malam tadi di rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Sungkai, Bidor," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, hari ini.

Muhammad Faizal turut menyifatkan Aszura yang bekerja sebagai penjual buah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebelah selatan seorang yang periang dan sangat ringan tulang membantu dalam 13 adik-beradik.

Ketika majlis pengebumian itu, suami kepada Aszura, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, kelihatan masih sugul dan bersedih dengan kehilangan empat insan tersayang sekelip mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:43 PM