Sidang media oleh Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan.
Sidang media oleh Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Anggota polis berpangkat sarjan yang sebelum ini direman kerana disyaki merogol pelajar berusia 16 tahun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kes terbabit sudah dilengkapkan dan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya (TPR), Rabu lalu.

"Sekarang kita tunggu arahan daripada TPR sama ada teruskan dengan tuduhan atau perlu siasatan lanjut lagi," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh anggota polis berpangkat sarjan berusia 42 tahun sebanyak dua kali di dalam kereta, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya, di Perak Tengah, pada Julai serta Oktober tahun lalu.

Perbuatan terkutuk lelaki terbabit yang juga Timbalan Ketua Balai itu terbongkar selepas mangsa memaklumkan kejadian kepada ibunya, baru-baru ini.

Susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 28 Januari lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mengulas berkaitan siasatan dalaman Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap sarjan terbabit, Mohd Yusri berkata, pihaknya sudah merujuk kes berkenaan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

"Memang kita lihat baru-baru ini, berlaku ketidakpatuhan integriti dalam kalangan pasukan polis.

"Saya jamin kes berkenaan disiasat secara telus dan adil. Tambahan lagi, kes ini sudah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:50 PM