GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Sepuluh anggota polis trafik sebuah daerah di Selangor yang disiasat berhubung penemuan wang tunai RM3,753 ditukar penugasan ke bahagian pentadbiran.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua mereka akan melakukan tugasan pentadbiran sehingga siasatan selesai.

"Siasatan itu dilakukan hasil dari tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita menjalankan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan anggota yang terbabit dengan penguatkuasaan ini mengikut SOP.

"Berhubung penemuan semalam, kes ini masih dalam siasatan, kita perlu siasat sama ada wang yang ditemukan adalah wang sendiri atau ada elemen lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) Sazally Saidi.

Semalam, Harian Metro melaporkan, 10 anggota polis trafik disiasat berhubung penemuan wang berkenaan di dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan sekatan jalan Op Alkohol.

Mereka terdiri daripada seorang pegawai berpangkat Inspektor dan sembilan anggota lain-lain pangkat sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel.

Susulan itu, satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah atau sebaliknya.

Siasatan itu susulan pemeriksaan oleh pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman ke atas 10 pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang menjalankan Op Alkohol pada 2.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 5:04 PM