GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: UMNO menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

"Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," menurut kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat khas itu yang dikongsikan kepada pemberita.

Menurut kenyataan itu, UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib yang sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan bekas presiden parti itu diteruskan.

"UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

"Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan sama-sama menjunjung semangat ini," menurut kenyataan itu.

Semalam, kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Januari lalu.

Menerusi keputusan itu, denda yang perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta manakala hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Najib gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 menolak rayuan akhir beliau dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara berkuat kuasa pada hari sama.

Sebelum itu, Najib memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, dan mahkamah itu pada 8 Dis 2021 menolak rayuannya, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara berkenaan. Pada 6 September 2022 pula bekas Menteri Kewangan itu memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Pada 31 Mac 2023, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya itu dan jalan akhir untuk beliau dibebaskan adalah menerusi pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini Najib sedang dibicarakan bagi kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pihak pendakwaan telah memanggil 49 saksi.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada Jun 2024 di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Beliau juga menghadapi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim K. Muniandy pada 19 Jan lepas berkata sekiranya pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan kes pada 17 Sept ini, pihak pembelaan bebas untuk memohon perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebas dan dilepaskan (DAA) berikutan representasi dikemukakan Najib.

Berita berkaitan:

Pengampunan: Jangan terlanjur komen di media sosial

Yang di-Pertuan Agong miliki kuasa pengampunan mengikut Perlembagaan

Hormati keputusan Lembaga Pengampunan - PM

Najib layak mohon parol, hukuman luar penjara seawal hujung tahun ini - Peguam

Keluarga kecewa Najib tidak dapat pengampunan penuh

Najib dipersetujui dibebaskan 23 Ogos 2028, denda dikurangkan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 4:36 PM