Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Permohonan untuk mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi Datuk Seri Najib Razak adalah sebagai menyantuni permintaan bekas Perdana Menteri itu dan ahli keluarganya.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun permohonan itu perlu dibuat dengan mengambil kira rasa hormat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita ke arah menyantuni permintaan Najib dan ahli keluarganya dan eloklah langkah yang akan dibuat nanti mengambil kira rasa hormat kita kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ini kerana baginda juga mempunyai kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Semalam, pihak pembelaan Najib berhasrat mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi bekas Perdana Menteri berkenaan.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu arahan daripada anak guam untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, alasan membuat satu lagi permohonan bagi mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Ibrahim kerana berpandangan, Lembaga Pengampunan tidak melaksanakan tugas seperti dikehendaki Perlembagaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak termasuk peguam perlu menghormati keputusan yang sudah ditetapkan Lembaga Pengampunan.

Jelasnya, Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan lembaga terbabit memiliki hak mutlak berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Maka siapa pun individu, termasuk peguam, hendaklah menghormati keputusan ini dan selanjutnya kita ambillah langkah dari segi perundangan.

"Ini juga termasuk langkah perlu untuk kita mengusahakan pembelaan ini kepada Najib," katanya.

Pada 2 Februari lalu, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 11:11 AM