Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan memberi pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Al-Sultan Abdullah kemudian mengagihkan kertas undi kepada empat ahli bukan tetap Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu.

"Ada keputusan dan saya tidak tahu apa hasilnya, Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah) membuat keputusan alternatif (mengurangkan hukuman Najib)," katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

MUHAMMAD Shafee menunjukkan dokumen berkenaan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 ketika sidang media. FOTO Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Shafee menunjukkan dokumen berkenaan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 ketika sidang media. FOTO Asyraf Hamzah

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 3:48 PM