Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berhasrat menfailkan permohonan baharu untuk mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Mengesahkan perkara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu arahan daripada Najib untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

MUHAMMAD Shafee bercakap ketika sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Shafee bercakap ketika sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 2:07 PM