Azman Adnan bertanya khabar murid Tahun Satu SK Merlimau Dua ketika melakukan tinjauan pada hari pertama persekolahan, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Azman Adnan bertanya khabar murid Tahun Satu SK Merlimau Dua ketika melakukan tinjauan pada hari pertama persekolahan, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Jasin: Semua 447,982 murid Tahun Satu di seluruh negara akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara tunai bermula minggu ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata, bantuan berkenaan akan diagihkan kepada 8,903 sekolah membabitkan peruntukan berjumlah RM67,197,300.

Katanya, bantuan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM788 juta yang diagihkan kerajaan sebelum ini.

"Semua murid yang berdaftar memasuki Tahun Satu akan mendapat bantuan itu secara automatik dan ibu bapa tidak perlu membuat sebarang permohonan kerana data anak mereka sudah dimasukkan dalam sistem kita," katanya ketika ditemui selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Merlimau Dua, di sini, hari ini.

Awal tahun ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, penyerahan BAP 2024 membabitkan peruntukan RM788 juta selesai diagihkan pada 11 Februari lalu.

Katanya, bantuan itu membabitkan lima juta pelajar seluruh negara yang disalurkan menerusi Pejabat Pendidikan Daerah.

Sementara itu, Azman berkata, kantin sekolah termasuk di sekolah menengah akan dibuka sepanjang Ramadan memandangkan terdapat pelajar bukan Muslim.

Katanya, langkah itu sejajar dengan dasar Kementerian Pendidikan sedia ada yang menetapkan kantin sekolah perlu beroperasi walaupun pada Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 12:49 PM