Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek ditemui media pada majlis Sesi Libat Urus Bersama-sana Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) Pulau Pinang dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan Transkrian. FOTO DANIAL SAAD

Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyegerakan proses penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah dengan mewujudkan 'task force' khas bagi berbincang berhubung perkara itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mahu ia dipercepatkan seiring agenda reformasi pendidikan dalam memastikan kurikulum dan isu berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.

"Mesyuarat 'task force' khas ini sudah berlangsung dan perkembangannya kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

"Dalam task force ini, antara lain yang dibincangkan ialah termasuk hal berkaitan peluasan prasekolah, kualiti pendidikan yang menjadi sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Merasmikan Sesi Libat Urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sentiasa menambah baik kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

Tegasnya, pentaksiran itu adalah jalan terbaik untuk memastikan proses menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 5:43 PM