MPSepang menjalankan operasi  dan mengeluarkan 12 saman ke atas premis yang kotor di daerah itu. FOTO ihsan MPSepang
MPSepang menjalankan operasi dan mengeluarkan 12 saman ke atas premis yang kotor di daerah itu. FOTO ihsan MPSepang
Samadi Ahmad


Sepang: Beratus ekor tikus 'menyerang' premis perniagaan sekitar daerah ini. Ia dibuktikan apabila sebanyak 200 ekor tikus berjaya ditangkap kakitangan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Yang diPertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya agresif mengadakan operasi membanteras tikus secara berjadual di kawasan dikenal pasti berlaku ancaman haiwan perosak itu.

Beliau berkata, Operasi Basmi Tikus dijalankan Jabatan Kesihatan Persekitaran MPSepang itu bertujuan menangani dan mengurangkan masalah tikus dan kerosakan harta benda selain mengelakkan penularan penyakit.

Menurutnya, kewujudan haiwan perosak itu memberi ancaman penyakit bawaan yang boleh membawa maut seperti kencing tikus (leptospirosis).

"Berdasarkan tinjauan tikus aktif pada waktu petang dan malam selain cepat membiak.

"Operasi seumpama ini akan dilaksanakan dengan lebih serius bagi memastikan populasi infestasi tikus (rodensia) dihapuskan," katanya.

Abd Hamid berkata, operasi ini menggunakan kaedah meletakkan umpan dan jerat di kawasan memiliki populasi tikus yang tinggi.

Katanya, sikap peniaga yang tidak menggunakan tong tertutup ketika membuang sisa buangan menyebabkan haiwan perosak itu mudah mendapatkan pelbagai sumber makanan sebelum membiak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 2:51 PM