PENDUDUK Kampung Ampar Tenang membantah penyerahan padang kepada pemaju. FOTO SAMADI AHMAD
PENDUDUK Kampung Ampar Tenang membantah penyerahan padang kepada pemaju. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Sepang: "Tolong jangan ambil padang kami, murid sekolah, remaja dan belia di sini perlukan kawasan itu untuk menjalankan aktiviti sukan dan beriadah," rintih penduduk Kampung Ampar Tenang, Dengkil di sini.

Keluhan itu disuarakan penduduk sebagai bantahan kepada syarikat pemaju perumahan di kawasan itu yang ingin menyerahkan kawasan padang itu kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Tamil, Kampung Ampar Tenang, Datuk V Gunalan berkata, mereka membantah kerana ia dianggap tidak bersesuaian diserahkan di bawah kelolaan MPSepang disebabkan ia dianggap penting kepada semua pihak.

Menurutnya, padang berkenaan sudah lama wujud dan dibuka serta diselenggara oleh penduduk estet yang tinggal di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, penduduk dimaklumkan pemaju akan menyerahkan padang berkenaan kepada MPSepang bagaimanapun penduduk dan PIBG sekolah menolak cadangan itu.

"Meskipun sudah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan pihak pemaju, namun kami masih tidak mendapat jawapan serta kata putus yang meyakinkan.

"Penduduk merasakan sekiranya padang ini diserahkan kepada MPSepang, sekolah dan penduduk akan berhadapan kesukaran untuk menjalankan sebarang aktiviti. Pastinya kelulusan perlu diperoleh dahulu sebelum dapat menggunakan padang itu," katanya.

Kampung Ampar Tenang yang dulunya adalah estet dibuka lebih 100 tahun dan kini lebih 180 keluarga tinggal di kawasan itu.

Sementara itu, Yang Di Pertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussein ketika dihubungi berkata, sebelum ini pemaju pernah memaklumkan berhubung perkara itu, namun masih belum menerima sebarang pengesahan hak milik penjagaan padang berkenaan.

Menurutnya, padang awam memang sepatutnya di bawah seliaan MPSepang kerana kawasan sekelilingnya banyak dibangunkan kawasan perumahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 10:23 AM