MPSepang menjalankan operasi dan mengeluarkan 12 saman ke atas premis yang kotor di daerah itu. Foto ihsan MPSepang
MPSepang menjalankan operasi dan mengeluarkan 12 saman ke atas premis yang kotor di daerah itu. Foto ihsan MPSepang
Samadi Ahmad


Sepang: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan 12 kompaun ke atas pemilik premis makanan di daerah ini kerana didapati tahap kebersihan tidak memuaskan sepanjang bulan lalu.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, kesemua 12 premis dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPSepang) 2007.

Menurutnya, notis dikeluarkan merangkumi kegagalan pemilik atau pengusaha premis mengambil langkah-langkah pencegahan pembiakan serangga perosak seperti lipas, lalat dan tikus.

Katanya, kompaun juga dikenakan kepada peniaga yang melepaskan efluen atau kumbahan ke dalam longkang di samping tidak menyediakan perangkap minyak atau tidak diselenggara dengan bersih dan keadaan premis kotor.

"Pengusaha makanan yang gagal mematuhi peraturan ini dikenakan kompaun maksima RM1,000," katanya.

Katanya, sebanyak 144 premis makanan diperiksa dan operasi diadakan bagi memastikan premis bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai selain mencegah berlaku kes keracunan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 3:15 PM