BERNAMA

Putrajaya: Sampah dan sisa makanan yang tidak dibuang dalam tong sampah bertutup rapat adalah punca utama tikus membiak di pasar awam, medan selera dan kawasan rekreasi, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Halimah Mohd Sadique.

Sampah-sarap dan sisa buangan yang dilonggokkan di pasar, kedai makan dan di kawasan rekreasi serta kecuaian peniaga makanan untuk membersihkan gerai masing-masing selepas berniaga menarik kehadiran tikus, katanya.

“Sisa makanan yang dibuang perlu diletakkan dalam tong sampah yang bertutup rapat dan bukannya dibiarkan terdedah. Sisa makanan yang tidak diuruskan dengan betul adalah antara punca utama tikus membiak.

“Sampah perlu dipastikan dimasukkan dalam tong bertutup dan bukannya di tepi tong sampah,” katanya.

Halimah berkata, sisa makanan yang diisi dalam beg plastik dan tidak diletakkan dalam tong yang bertutup menjadi tumpuan tikus kerana haiwan itu boleh menggigit beg plastik itu dengan mudah.

Laporan media bulan lalu menyebut lima pasar awam di ibu negara dilabel sebagai tempat pembiakan tikus dan dikhuatiri terdedah kepada risiko penyakit Leptospirosis atau kencing tikus.

Halimah berkata, pemeriksaan berkala di kawasan berisiko tinggi yang menjadi tempat pembiakan tikus oleh pihak berkuasa tempatan mampu membendung haiwan perosak berkenaan, sekali gus mengawal penyakit kencing tikus yang membawa maut.

“Cara penangkapan tikus yang lebih inovatif berbanding kaedah meletak umpan dan memasang perangkap perlu difikirkan dari semasa ke semasa bagi mencari cara berkesan untuk membunuh haiwan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:45 AM