KEDAI makan milik Siti Zaharah di kawasan Tasik Kenyir, dilimpahi air. FOTO Nazdy Harun
KEDAI makan milik Siti Zaharah di kawasan Tasik Kenyir, dilimpahi air. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: "Kejadian kedai makan yang saya usahakan sejak 25 tahun lalu dinaiki air di kawasan Tasik Kenyir ini pernah berlaku kira-kira 10 tahun lalu, kali ini merupakan kejadian kali dua," kata Siti Zaharah Salleh, 57, dari Kampung Basung dekat sini.

Menurutnya, dia mengusahakan kedai makan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu bersama anak-anaknya.

Katanya, peningkatan paras air tasik menyebabkan kedainya dinaiki air dan dia terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu.

Siti Zaharah berkata, fenomena air empangan meningkat hingga melimpah ke dalam kedainya berlaku 10 tahun lalu dan ketika itu dia terpaksa menutup perniagaannya selama tiga bulan.

"Kali ini saya jangkakan akan menutup perniagaan lebih daripada sebulan sehingga paras air empangan kembali surut dan fenomena ini bukannya sering berlaku.

"Mungkin hujan yang lebat di kawasan hulu tasik menyebabkan berlakunya peningkatan paras air hingga melimpah ke dalam kedai," katanya.

Menurutnya, beberapa kedai makan dan kios niaga milik rakannya turut ditenggelami air dan dalam tempoh 10 tahun dua kali kami dapat melihat paras air meningkat setinggi ini.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana peningkatan paras air merupakan perkara normal di dalam tasik yang merupakan kawasan tadahan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Tasik Kenyir Ikhramshah Muammar Ubaidah Muhamad, 33, dari Pekan Kuala Berang berkata, peningkatan paras air empangan tidak menjejaskan industri pelancongan.

"Pelancong datang untuk menaiki sama ada rumah bot mahupun bot laju yang sememangnya berada di dalam air.

"Justeru, fenomena paras air meningkat tinggi ini tidak menghalang orang ramai untuk bercuti di tasik ini," katanya.

Menurutnya, dia difahamkan paras air ketika ini setinggi 148 meter dan saban tahun akan berlaku peningkatan paras air berikutan hujan lebat ketika musim tengkujuh.

Katanya, tahun ini sedikit berbeza kerana paras air melimpah hingga ke kedai makan kerana kebiasaannya paras air hanya melepasi jeti pelancong di Pengkalan Gawi ini.

Sementara itu, pemandu bot pelancong Izzat Mukhriz Muhamad, 29, Kuala Berang berkata, saban tahun apabila berlakunya musim MMonsun Timur Laut (MTL) akan berlaku peningkatan paras empangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 3:36 PM