BERNAMA

Kuala Terengganu: Video air deras yang tular di media sosial kononnya berlaku di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, adalah tidak benar.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan sungai yang dipaparkan di dalam video berkenaan adalah Sungai Telemong berdekatan Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir.

"Namun aliran Sungai Telemong tidak mengalir masuk ke Tasik Kenyir dan paras air di empangan Tasik Kenyir masih selamat dan terkawal.

"TNB menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi berita yang tidak sahih di media sosial," menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi TNB Care itu.

Semalam, video berdurasi 18 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu memaparkan air sungai deras hingga melimpah ke jambatan, dengan lokasinya dikatakan di Tasik Kenyir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:09 PM
TNB memaklumkan sungai di dalam video ini adalah Sungai Telemong yang tidak mengalir masuk ke Tasik Kenyir. FOTO Facebook TNB Careline
TNB memaklumkan sungai di dalam video ini adalah Sungai Telemong yang tidak mengalir masuk ke Tasik Kenyir. FOTO Facebook TNB Careline