DATUK Muhamad Zaki Harun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Muhamad Zaki Harun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan dua lelaki dipercayai tali barut 'along' bagi membantu siasatan berhubung simbahan cat dan nota amaran, pada 18 Januari lalu.

Suspek berusia 25 dan 26 tahun masing-masing ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Bonggor kira-kira jam 7.30 malam, dan sebuah kedai makan di Padang Garong pada 11 malam hari sama.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan itu susulan laporan diterima daripada mangsa berkait kes gangguan oleh pemberi pinjam wang atau 'Along' kira-kira 6.54 petang pada 15 Januari lalu.

Katanya, bertindak atas laporan diterima, pihaknya ke lokasi kejadian dan memperoleh beberapa kesan cap cari.

"Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menahan seorang lelaki pada 7.30 malam.'

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis merampas satu unit telefon bimbit jenis OPPO A17, sebuah motosikal Yamaha EgoS, sepasang kasut warna putih yang mempunyai kesan tompok merah disyaki cat merah dan satu botol lutsinar berjenama Fanta 1.25L mengandungi cecair merah disyaki cat merah.

"Selain itu dua botol lutsinar mengandungi cecair merah disyaki cat merah, satu tin cat satu liter kod signal Red, dan satu jag lutsinar bersama satu senduk kayu disyaki digunakan untuk membancuh cat merah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat yang didedahkan oleh suspek pertama, pihaknya menangkap suspek kedua di sebuah kedai makan di Padang Garong pada jam 11 malam hari sama.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Januari untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.

Muhamad Zaki berkata, berdasarkan laporan, pada 7.30 malam, 14 Januari lalu, ibu mangsa menyedari kawasan hadapan rumahnya disimbah cat berwarna merah yang turut terkena sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru milik jirannya.

Katanya, satu nota amaran juga ada ditinggalkan oleh 'along' terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan, mangsa memaklumkan membuat pinjaman wang RM300 melalui aplikasi 'mariwang' pada 2021.

"Mangsa sudah menerima wang pinjaman sebanyak RM150, malah mangsa sudah membuat bayaran semula pinjaman wang berkenaan kira-kira RM1,000 melalui aplikasi sama.

"Bagaimanapun, 'along' meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM10,000 namun mangsa tidak mampu membuat bayaran itu dan sudag memadam aplikasi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 6:03 PM