Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua lelaki yang juga ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' siber yang diupah menyimbah cat dan menghantar notis ugutan melalui laman sosial sejak sebulan lalu, ditahan dalam satu serbuan semalam.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun dikatakan aktif melakukan kegiatan itu sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan Kubang Pasu.

Mereka ditahan di sebuah rumah di Kampung Tengah Pumpong antara jam 12.10 tengah malam dan 9.26 pagi.

Ketua Polis negeri, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, serbuan dilakukan hasil intipan pegawai dan anggotanya yang menerima laporan daripada mangsa terbaharu di Kota Setar.

"Susulan serbuan itu, kita merampas barangan termasuk empat tong cat yang dipercayai diguna bagi menyimbah rumah mangsa, kereta Nissan Sentra, dua telefon bimbit, beg silang dan sebungkus cecair dipercayai air ketum.

"Turut dirampas dua plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis syabu seberat 4.45 gram serta kertas kotak coklat mengandungi tulisan 'pinjam wang bayar last warning untuk settle hutang' dan barangan lain," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Deputi Superintendan Mohd Norfadzly Mohd Hashim.

Wan Hassan berkata, sindiket along siber ini terbabit menggunakan platform media sosial untuk menawarkan pinjaman wang dengan kadar bunga yang tinggi.

Katanya, sindiket akan meminta peminjam mengisi maklumat peribadi dan nombor akaun bank dalam satu aplikasi yang diberi.

"Sindiket kemudian akan memasukkan wang RM300 ke dalam akaun peminjam sama ada peminjam setuju atau tidak, sebelum mengugut peminjam membuat bayaran segera pada kadar bunga yang tinggi.

"Malah jika peminjam gagal membuat bayaran, sindiket akan mengupah orang untuk menghantar notis ugutan serta membaling cat di rumah peminjam," katanya.

Katanya, kegiatan menyimbah cat di rumah mangsa biasanya dilakukan antara jam 1 hingga 4 pagi dan mereka akan mengambil gambar atau video yang dihantar ke WhatsApp sebagai bukti tugasan sudah dilaksanakan.

"Rundingan sindiket dan suspek hanya dilakukan melalui panggilan suara dan mesej di WhatsApp sahaja kerana mereka tidak mendedahkan maklumat diri dan lokasi mereka beroperasi.

"Kita masih mengesan seorang lagi suspek dipercayai rakan mereka yang berusia 20 tahun yang beralamat di Yan untuk membantu siasatan ," katanya.

Wan Hassan berkata, hasil tangkapan ini, pihaknya berjaya menyelesaikan 11 kes di negeri ini yang mana empat laporan polis dibuat di daerah Kota Setar, lima di Kuala Muda dan dua di Kubang Pasu.

Beliau berkata, orang ramai diminta tidak mudah terpedaya dengan membuat pinjaman melalui sindiket along siber ini dan menjadi ahli sindiket ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) bagi membantu menjalankan aktiviti Pemberi pinjaman tanpa lesen," katanya.

WAN Hassan (kanan)  menunjukkan barangan rampasan termasuk tong cat yang digunakan untuk menyimbah rumah mangs. FOTO Zuliaty Zulkiffli
WAN Hassan (kanan) menunjukkan barangan rampasan termasuk tong cat yang digunakan untuk menyimbah rumah mangs. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 6:42 PM