MOHAMAD (dua dari kiri) ditemani Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani (kiri) pada sidang akhbar tangkapan kes pemberi pinjam wang tanpa lesen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
MOHAMAD (dua dari kiri) ditemani Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani (kiri) pada sidang akhbar tangkapan kes pemberi pinjam wang tanpa lesen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahmad Hasbi


Seremban: Padah membuat ugutan dengan menyimbah cat ke atas kereta peminjam, tiga individu disyaki pemberi pinjaman wang tanpa lesen ditahan Polis Kontinjen Negeri Sembilan, 6 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki berusia 30 dan 38 tahun di daerah ini.

"Tangkapan bersabit laporan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjual alat ganti kenderaan yang mengadu kenderaan pacuan empat rodanya disimbah cat berwarna merah dipercayai dilakukan along, di kediamannya di Lukut, Port Dickson.

"Mangsa mendakwa pernah membuat pinjaman dengan pinjaman dengan lima along berjumlah kira-kira RM100,000 untuk tujuan perniagaan bengkel kereta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun di Bandar Baru Nilai, Nilai, selepas dipercayai menyimbah cat merah pada kenderaan seorang ejen pengangkutan.

"Mangsa pernah meminjam wang RM8,000, namun hanya memperoleh RM4,900 sahaja. Mangsa gagal membayar pinjaman pada Jun lalu sebelum keretanya disimbah cat pada 10 Ogos lalu," katanya.

Mohamad berkata, pihaknya merampas pelbagai barang bagi kedua-dua tangkapan berkenaan seperti wang tunai, kad ATM, beg, telefon bimbit, kad perniagaan, buku resit, borang permohonan pinjaman dan kereta.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki dipercayai along selepas dikesan sedang menggantung banner mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Baru Sendayan, di sini, semalam.

"Kami merampas tiga telefon, satu tukul, sebuah kereta Perodua Alza, 17 banner dan 134 risalah pinjaman wang serta satu bekas paku.

"Semua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang. Saya menasihati orang ramai supaya mengelak daripada meminjam wang daripada along dengan mencari alternatif lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:04 PM