Antara barang yang dirampas daripada dua suspek yabg dipercayai terbabit dalam kes membuat gangguan sebagai pemberi pinjamam wang  di Lukut, Port Dickson. FOTO Ihsan Polis
Antara barang yang dirampas daripada dua suspek yabg dipercayai terbabit dalam kes membuat gangguan sebagai pemberi pinjamam wang di Lukut, Port Dickson. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua lelaki dipercayai along ditahan, semalam selepas disyaki terbabit dalam kes membuat gangguan dengan menyimbah cat merah pada kereta penerima pinjaman wang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 29 Ogos lalu berkaitan gangguan daripada pihak memberi pinjaman wang di rumahnya di Lukut, Port Dickson.

"Seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga seorang peniaga dalam talian mendapati kereta miliknya yang diparkir di kawasan rumahnya di Lukut, dibaling dengan cat berwarna merah di bahagian bumbung dan cermin hadapan.

"Mangsa menyatakan ada membuat pinjaman daripada lima pemberi pinjaman wang secara panggilan telefon untuk tujuan perniagaan bengkel miliknya dan menyatakan semua pinjaman itu masih belum dijelaskan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan itu, polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 38 tahun dalam serbuan antara 10.30 pagi hingga 3.30 petang semalam di Seremban dan Lukut.

Menurutnya, antara barang dirampas adalah wang tunai RM1,700, dua keping kad juruwang automatik (ATM), satu beg silang dan dua telefon bimbit.

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 10 September ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Selain itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 4:24 PM