POLIS merampas beberapa peralatan disyaki digunakan sindiket pemberi wang tidak berlesen. FOTO Ihsan PDRM.
POLIS merampas beberapa peralatan disyaki digunakan sindiket pemberi wang tidak berlesen. FOTO Ihsan PDRM.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiga ahli sindiket ceti haram atau along ditahan polis selepas disyaki melakukan ugutan jenayah dan menyimbah cat ke rumah peminjam, semalam.

Kesemua suspek berusia 34 hingga 46 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur yang melakukan serbuan di sebuah rumah pangsa di Selangor.

Ketua JSJK Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu lori berusia 25 tahun mendakwa diugut pemberi pinjaman wang.

"Lelaki itu mendakwa pintu hadapan rumahnya disimbah cat merah kerana kelewatan membuat bayaran semula pinjaman.

"Sebelum ini, mangsa berurusan membuat pinjaman sebanyak RM30,000 melalui laman sosial Facebook," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan polis menjalankan siasatan dan menyerbu sebuah rumah dihuni suspek dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan disyaki digunakan dalam kes berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, suspek turut terbabit dengan dua kes lain sebelum ini," katanya kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 4 Mac untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang di laman sosial yang kebanyakannya didalangi sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 6:08 PM