Majid Mohamad (kiri), Pemenang Utama membawa pulang sebuah Toyota Yaris. - FOTO ASNB
Majid Mohamad (kiri), Pemenang Utama membawa pulang sebuah Toyota Yaris. - FOTO ASNB
Nurshafika Suhaimi

Kuala Lumpur: 'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu' itulah pepatah paling sesuai boleh digambarkan untuk pemenang hadiah utama Kempen Simpan Vaganza Fasa 2.

Majid Mohamad, 69, berkata beliau melabur dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sejak tahun 1980 termasuk isteri dan anak-anaknya sebagai instrumen pelaburan pilihan mereka sekeluarga.

Walaupun telah lama melabur dengan ASNB, beliau dan keluarga jadikan tabiat menyimpan sentiasa berterusan dan tanpa diduga beliau terpilih sebagai pemenang untuk Kempen Simpan Vaganza Fasa 2 dan berjaya membawa pulang sebuah kereta Toyota Yaris minggu lalu.

Kempen Simpan Vaganza dan Simpan Vaganza Online yang berlangsung secara serentak bermula 1 Mac 2023 lalu, adalah kempen tahunan ASNB bagi menggalakkan rakyat Malaysia menabung untuk jangka panjang serta mengguna pakai penyelesaian digital yang memudahkan urusan pelaburan.

Sejumlah 2.37 juta penyertaan dicatatkan sejak Simpan Vaganza Fasa 1 bermula hingga akhir Fasa 2.

Setiap fasa menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM880,000 yang dimenangi oleh 1,297 pemenang bagi kedua-dua fasa, antaranya, unit amanah, barangan elektrik, baucar percutian dan hadiah utama iaitu sebuah kereta Toyota Yaris.

Menurut Muzzaffar Othman selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Kempen Simpan Vaganza dan Simpan Vaganza Online menarik penyertaan yang amat menggalakkan daripada pelabur sedia ada mahu pun pelabur baharu.

"ASNB sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus menyimpan dalam instrumen pelaburan diuruskan oleh ASNB yang sesuai untuk semua generasi bagi memenuhi objektif kewangan masing-masing seperti menampung perbelanjaan pendidikan untuk diri sendiri dan anak-anak, membeli rumah dan juga membina tabung persaraan," katanya

Pada majlis penyampaian hadiah minggu lalu, ASNB telah menjemput seramai 39 orang pemenang Fasa 2 untuk  menerima hadiah masing-masing.

Antara pemenang lain termasuklah pemenang cilik, adik Muhamad Aariz Zahran Muhamad Zulkarnain yang berjaya membawa pulang hadiah tempat kedua berupa Sony Playstation 5 dalam kempen Simpan Vaganza Online.

Seorang lagi pemenang Simpan Vaganza Online, Adzlan Ishak, 34, berkata beliau melalui pengalaman melabur yang mudah secara digital menerusi aplikasi myASNB terutamanya untuk menambah pelaburan dan menyemak portfolio pelaburan.

Dalam pada itu, Muzzaffar Othman memaklumkan Fasa 3 kempen ini masih berlangsung hingga 29 Februari 2024 dan para pelabur juga berpeluang untuk menjadi salah seorang pemenang dengan tawaran hadiah utama berupa sebuah kereta Toyota Cross 1.8G AT.

Image

Pemenang-pemenang Kempen Simpan Vaganzha Online Fasa 2 bergambar kenangan bersama En Muzzaffar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB (ditengah, barisan depan). - FOTO ASNB

Kempen Simpan Vaganza terbuka khusus untuk pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), manakala Simpan Vaganza Online terbuka kepada pelaburan dalam mana-mana unit amanah ASNB menerusi platform dalam talian iaitu myASNB, perbankan internet, e-dompet dan mesin kiosk ASNB.

Kedua-dua kempen ini telah dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu:-

  • Fasa 1 : 1 Mac hingga 30 Jun 2023;
  • Fasa 2 : 1 Julai hingga 31 Oktober 2023, dan;
  • Fasa 3 : 1 November 2023 hingga 29 Februari 2024.

Dalam perkembangan lain, baru-baru ini ASNB telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, ASB, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Dengan pulangan yang kompetitif dan ciri pelaburan risiko rendah, ASB menjadi pilihan lebih 10.5 juta pemegang unit.

ASNB juga menaik taraf aplikasi myASNB kepada Superapp bagi meningkatkan pengalaman pelaburan kepada para pemegang unit.

Image

Ingin menangi pelbagai hadiah vaganza setiap bulan?

Hanya simpan dalam ASB atau ASB 2 sehingga RM1,000 untuk sertai kempen Simpan Vaganza atau simpan online melalui myASNB atau perbankan internet minimum RM500 dalam mana-mana unit amanah ASNB untuk sertai kempen Simpan Vaganza Online

Untuk maklumat lanjut berkenaan kempen-kempen ASNB, orang ramai boleh melayari laman web rasmi ASNB atau laman media sosial rasmi ASNB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 10:30 AM