FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Putatan: Kelemahan sistem agihan di kawasan berdepan kekurangan bekalan dikenal pasti antara punca masalah ketiadaan air berpanjangan hingga menimbulkan kemarahan pengguna di bandar raya Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, situasi itu berlaku di kawasan Parlimen Sepanggar yang menjejaskan ribuan pengguna termasuk warga kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, kelemahan yang berpunca daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) itu perlu diatasi segera bagi mengurangkan kesan kekurangan bekalan yang memaksa catuan air dilaksanakan ketika ini.

Sehubungan itu, beliau mahu JANS menubuhkan sebuah jawatankuasa penambahbaikan sistem pengagihan bekalan air kepada pengguna bagi mengatasi masalah itu.

"Saya masih tidak berpuas (terhadap kerja pemulihan bekalan air) memandangkan apa yang saya nampak adalah kelemahan agihan bekalan air dalam sistem yang dikendalikan oleh pihak JANS.

"Berikutan itu, saya minta satu jawatankuasa khusus yang fokus kepada usaha menambah baik agihan bekalan air diwujudkan khususnya di kawasan pantai barat Sabah," katanya ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri beliau, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, beliau menerima ratusan aduan berhubung masalah air di kawasannya dan terpaksa mengambil inisiatif sendiri menghantar bekalan menggunakan lori tangki kepada pengguna terjejas.

Ketika ini, bekalan air ke kawasan Sepanggar atau utara bandar raya Kota Kinabalu disalurkan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran, dengan kapasiti semasa kira-kira 160 juta liter sehari (MLD), berbanding permintaan yang mencecah 190 MLD.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, gangguan bekalan air yang menjejaskan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kelmarin, dikenal pasti berpunca daripada kerja penyelenggaraan tangki secara berkala yang dilaksanakan pihak JANS.

Beliau berkata, kerja berkenaan sepatutnya tidak memberi kesan kepada KKIA jika persediaan awal dibuat memandangkan ia adalah kerja berjadual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 9:00 AM