GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis masih mengekalkan kes kematian seorang doktor gigi dan suaminya di kondominium Jalan Keliling di sini, kelmarin, sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata, bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, tadi mendapati punca kematian pasangan suami isteri itu masih belum dipastikan.

"Bedah siasat sudah dijalankan di HTJ pagi tadi dan mendapati keputusannya 'undetermined'. Ia memerlukan analisis lanjut di makmal kimia sebelum mendapat keputusan.

"Buat masa ini polis masih mengklasifikasikan kes sebagai SDR berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan pada tubuh badan kedua-dua si mati yang mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan," katanya.

Terdahulu, polis menerima maklumat berhubung kematian wanita berusia 31 tahun dan suaminya berusia 34 tahun itu pada jam 12.49 tengah hari semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka adalah suami isteri yang mana lelaki terbabit berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa Port Dickson manakala isterinya, doktor di sebuah klinik pergigian di Linggi.

Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-770 7282 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di 06- 6033 222.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan waris si mati tidak berjaya apabila mereka tidak kelihatan di sekitar Jabatan Perubatan Forensik berkenaan.

Bagaimana kelihatan beberapa rakan sekerja pasangan berkenaan berada di bilik mayat itu, namun mereka enggan ditemubual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 3:06 PM