ANGGOTA RELA Negeri Sembilan jatuh rebah ketika menyertai perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, pagi tadi. Tangkap layar video Ihsan Pembaca
ANGGOTA RELA Negeri Sembilan jatuh rebah ketika menyertai perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, pagi tadi. Tangkap layar video Ihsan Pembaca
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) disahkan meninggal dunia selepas menyertai perbarisan lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan dipercayai akibat serangan jantung.

Anggota terbabit, Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) pada jam 10 pagi tadi.

Allahyarham adalah ketua kontinjen RELA Negeri Sembilan dikatakan rebah semasa melintasi pentas utama di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini sebelum dikejarkan ke HTJ.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya dimaklumkan anggota bertugas kaunter aduan mengenai kes kematian seorang lelaki di Jabatan Kecemasan HTJ, pada jam 12.25 tengahari hari ini.

"Pemeriksaan pada tubuh badan simati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan.

"Bedah siasat telah dibuat dan punca kematian disahkan oleh Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban adalah masalah jantung 'Coronary Artery Occlusion'," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 6:22 PM