GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Sibu: Kerani sebuah syarikat, di sini, kerugian kira-kira RM240,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan wang dalam talian menerusi sebuah aplikasi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, wanita berusia awal 50-an itu menerima mesej WhatsApp daripada suspek yang mempromosikan pelaburan saham melalui aplikasi pada penghujung November lalu.

Menurutnya, suspek kemudian memberi penerangan mengenai pelaburan terbabit yang menawarkan keuntungan 200 hingga 350 peratus.

"Mangsa yang tertarik dengan pelaburan itu melakukan 15 transaksi pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM240,000 ke tiga akaun bank atas nama syarikat berlainan dari penghujung November hingga penghujung Disember.

"Mangsa hanya menyedari ditipu setelah tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripada pelaburan seperti dijanjikan suspek, sebelum tampil membuat laporan pada 28 Disember lepas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 2:57 PM