FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Melvin Joni


Sibu: Cinta maya menjerat seorang kerani di sini apabila menghabiskan wang dianggarkan berjumlah RM1.06 juta tanpa menyedari dirinya terperangkap dengan 'Love Scam'.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, wanita berusia 50-an itu berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Thomas Yeng Leong melalui Facebook pada pertengahan tahun lepas dan mula menjalin hubungan cinta serta berhubung dengan suspek melalui WhatsApp,

"Suspek mengatakan bekerja sebagai jurutera di London dan meminta bantuan mangsa membuat pembayaran pembelian bahan kimia untuk pekerjaannya.

"Mangsa melakukan 25 transaksi pemindahan wang berjumlah RM395,000 ke lima akaun bank berlainan pada awal Ogos 2022 sehingga penghujung September 2022," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas itu, beliau berkata, pada September 2022, suspek berjanji akan datang ke Malaysia dan beberapa hari kemudian, mangsa dihubungi kastam yang mengatakan suspek ditahan di Thailand kerana membawa wang tunai Dolar Amerika Syarikat melebihi had ditetapkan, dan bayaran denda dikenakan untuk membebaskan suspek.

Mancha berkata, mangsa kemudian melakukan tiga transaksi pemindahan wang berjumlah lebih RM255,000 ke tiga akaun bank berlainan pada penghujung September 2022 sehingga awal Oktober 2022.

Selain itu katanya, mangsa melakukan 36 transaksi pemindahan wang berjumlah RM414,000 ke 16 akaun bank berlainan pada awal Mei lalu sehingga penghujung Julai lalu, bagi tujuan pembelian barang kerja suspek, urusan datang ke Malaysia, urusan kecemasan dan banyak lagi.

"Mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran atas pelbagai alasan tetapi mangsa masih gagal berjumpa dengan suspek," katanya.

Susulan itu, Mancha berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di sini, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 8:52 AM