Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni

Serian: Hasrat seorang guru di sini, untuk meraih keuntungan melalui pelaburan saham lebur apabila wangnya berjumlah kira-kira RM270,000 lesap.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, wanita berusia lingkungan 40-an itu dikatakan tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di Facebook dan kemudiannya berurusan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Chryseis pada September lalu.

Menurutnya, mangsa seterusnya dimasukkan dalam satu kumpulan Whatsapp atas nama A80 dengan mangsa diminta mengikuti kelas melalui satu laman sesawang pada setiap Isnin, Khamis atau Ahad untuk belajar cara-cara membuat pelaburan.

Katanya, mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan dan bagi tujuan pendaftaran mangsa memuat naik gambar kad pengenalan dalam aplikasi berkenaan.

"Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu selepas ditawarkan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap kali membuat pelaburan, kemudiannya melakukan sembilan transaksi pindahan wang secara berperingkat bermula dari pertengahan hingga hujung November lalu kepada dua akaun bank berbeza berjumlah kira-kira RM270,000.

"Selepas mangsa membuat transaksi, dia akan menjual atau membeli saham menggunakan aplikasi berkenaan dan melalui aplikasi itu juga, mangsa dapat melihat turun naik saham yang dibeli," katanya.

Mancha berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila pada 29 November lalu, mendapati wang dalam akaun aplikasi berkenaan tidak dapat dipindahkan ke dalam akaun bank simpanannya.

Katanya, mangsa yang kemudian membuat semakan dengan syarikat Shroders Singapore turut diberitahu bahawa syarikat itu tiada menyediakan perkhidmatan jual beli saham.

Susulan itu, katanya mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:13 PM