FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Juruteknik wanita kerugian RM554,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham yang tidak wujud di media sosial, sejak Oktober tahun lalu.

Kejadian itu bermula apabila mangsa berusia 54 tahun melihat satu iklan pelaburan di Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya menekan pautan diberikan sindiket terbabit.

Beliau berkata, mangsa mula berurusan seorang wanita warga China menerusi aplikasi WhatsApp bagi tujuan menyertai pelaburan saham yang ditawarkan.

"Suspek meminta mangsa memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan. Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan akaun bagi tujuan pendaftaran.

"Selepas menyatakan minat dengan pelaburan itu, mangsa bersetuju memasukkan wang berjumlah RM314,000 ke tiga akaun berbeza, secara berperingkat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, hasil semakan dalam akaun pelaburan milik mangsa mendapati terdapat keuntungan sebanyak RM2.06 juta.

Katanya, bagaimanapun, untuk mendapat membolehkan keuntungan itu dikeluarkan, suspek meminta mangsa membayar RM240,000.

"Mangsa diberitahu suspek bahawa wang keuntungan itu tidak dapat dikeluarkan kerana akaun pelaburan mangsa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Selepas memenuhi permintaan suspek itu membuat bayaran itu namun, mangsa sehingga kini belum menerima apa-apa keuntungan seperti mana dijanjikan. Mangsa mula berasa tertipu lalu membuat laporan di Balai Polis Parit Raja.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 9:51 AM