Nga Kor Ming ketika meluncurkan buku '200 Malaysia's Native Trees For Street Planting' di majlis berkenaan. FOTO RUWAIDA MD ZAINĀ 
Nga Kor Ming ketika meluncurkan buku '200 Malaysia's Native Trees For Street Planting' di majlis berkenaan. FOTO RUWAIDA MD ZAINĀ 
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdepan masalah kewangan untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan pokok di bawah kawasan pentadbiran mereka.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kerja penyelenggaraan pokok perlu dijalankan sepanjang masa malah semua PBT hendak melaksanakannya.

"Cuma saya tidak nafikan ada PBT khususnya majlis daerah yang ada kekangan kewangan kerana kos penyelenggaraan setiap pokok agak mahal.

"Jadi, kita akan sentiasa mencari (kaedah sesuai) sama ada dengan rakan strategik bersama dengan pihak swasta atau bersama wakil rakyat.

"Daripada pihak kementerian pula, kita akan turunkan peruntukan untuk membantu PBT agar sentiasa dapat menjaga kesihatan pokok ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Forum Perbandaran Hijau (Green Urban Forum - GUF) 2024 dan Majlis Penyampaian Anugerah, Hadiah & Sijil Penghargaan Sempena Hari Landskap Negara 2024 di Bangunan Ibu Pejabat PKNS di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengapa usaha penyelenggaraan dan mengenal pasti pokok berisiko yang mengancam keselamatan awam hanya dilakukan apabila terdapat kejadian hujan dan ribut.

Nga berkata, penjagaan kesihatan dan penyelenggaraan pokok amat penting terutamanya yang sudah berusia.

"Jangan lupa 'old is gold', pokok yang berusia lebih 100 tahun, bukan sahaja menjadi aset penting, pokok ini adalah salah satu khazanah warisan negara kita.

"Contoh terbaik adalah pokok hujan di tepi Taman Tasik Taiping, nilai pasaran setiap pokok dianggarkan antara RM2 hingga RM3 juta ..setiap pokok diberikan polisi insurans untuk memastikan pokok itu tidak tumbang.

"Majlis Perbandaran Taiping sudah melantik pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mana profesor pokok akan turun setiap tiga bulan untuk beri suntikan vitamin, pangkas ...ini untuk memastikan pokok hujan itu kekal segar dan sihat," katanya.

Terdahulu, ketika berucap Nga berkata, beliau berharap forum berkenaan dapat meningkatkan lagi pemahaman pelaksana dan PBT mengenai kaedah penghijauan bandar menerusi tanaman pokok pinggiran jalan serta cabaran yang dihadapi.

"Kita sedia maklum penanaman pokok di tepi jalan mempunyai cabaran tersendiri seperti isu penyelenggaraan dan keselamatan terutamanya membabitkan pokok besar yang mudah tumbang apabila dilanda cuaca buruk.

"Pada hemat saya, sudah tiba masa supaya kita jenamakan semula usaha penghijauan bandar daripada dilihat sebagai kerja landskap sahaja (mere landscaping job) kepada inisiatif berimpak yang dapat membantu negara mencapai objektif bandar rendah karbon.

"Selain itu, ia dapat meningkatkan biodiversiti dan daya huni bandar di samping meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk bandar dengan menggalakkan orang ramai berjalan dan beriadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 3:24 PM