Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni


Miri: Pengurus wanita hanya mampu menggigit jari apabila menjadi mangsa penipuan dalam urusan pembelian daging babi dengan kerugian berjumlah RM240,000.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 20-an sebelum itu berhubung dengan sebuah syarikat di luar negara melalui e-mel pada awal Jun lalu.

Menurutnya, wanita terbabit membuat pesanan sebanyak 28,000 kilogram terdiri daripada 11 jenis bahagian daging babi sejuk beku daripada syarikat terbabit.

"Mangsa berhubung dengan suspek menggunakan WhatsApp dan berbincang cara pembayaran sebelum melakukan tiga transaksi berjumlah RM240,000 ke dua akaun bank berbeza pada penghujung Julai sehingga pertengahan bulan ini.

"Wanita itu hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan syarikat penghantaran pada pertengahan bulan ini apabila dimaklumkan maklumat penghantaran berkenaan adalah wujud.

"Bagaimanapun, penghantaran barangan terbabit adalah untuk syarikat lain dan bukannya kepada syarikat mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, mangsa menghubungi semula syarikat terbabit melalui e-mel yang asal dan dimaklumkan bahawa e-mel syarikat mereka digodam dan turut menerima aduan daripada beberapa pelanggan lain.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 3:44 PM