GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Erika George

Bintulu: Gara-gara taksub dengan pulangan lumayan, seorang wanita yang juga pesara berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM240,000 lesap ditipu sindiket kerja dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pada 30 September lalu, mangsa berusia 53 tahun tertarik dengan satu tawaran kerja sambilan secara dalam talian di Facebook sebelum menghubungi pihak terbabit.

"Sejurus itu, mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp oleh individu yang mendakwa pengendali platform pekerjaan secara dalam talian itu bagi memudahkan urusan pekerja.

"Mangsa kemudian dihubungi bahagian khidmat pelanggan melalui WhatsApp yang mengatakan mereka adalah syarikat 'Digital Marketing Team' yang membantu peniaga e-dagang kecil meningkatkan jualan serta menerokai pasaran baru," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran keuntungan antara RM300 hingga RM500 sehari itu menyatakan keinginan menjalankan tugasan diarahkan bagi mendapatkan 10 peratus komisen pada setiap tugasan diselesaikan.

Menurutnya, sepanjang tempoh terbabit, mangsa melakukan 41 kali transaksi pemindahan wang ke atas lapan akaun berbeza membabitkan wang berjumlah RM240,000.

"Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan pada 23 Oktober lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk tawaran perniagaan atau pekerjaan secara dalam talian atau media sosial yang menawarkan komisen atau pendapatan lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:42 PM