Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Polis Sarawak menerima dua laporan berkaitan penipuan pelaburan menerusi laman sosial di daerah Kuching dan Sibu membabitkan kerugian keseluruhan RM390,000 semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, bagi kes di daerah Kuching, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima laporan dibuat seorang lelaki berusia lewat 50-an yang juga seorang peniaga.

"Pada 25 Oktober lalu semasa berada di rumah, mangsa melayari Facebook, dan tertarik dengan satu iklan pelaburan.

"Mangsa berhubung dengan suspek bernama Dick dan Jenny melalui panggilan telefon untuk mendaftar pelaburan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp bernama "Whale Program (Dolphins)" yang diketuai oleh suspek bernama Kevin sebagai pengerusi dan penama Dick sebagai guru yang mengajar berkenaan pelaburan ini.

"Mangsa ditawarkan pulangan keuntungan sebanyak 20 peratus setiap kali membuat pelaburan, untuk urusan pelaburan mangsa diberikan fail apk dan daftar aplikasi exgcoo.

"Mangsa melakukan 10 kali transaksi pindahan wang secara berperingkat bermula dari hujung Oktober hingga pertengahan November lalu kepada tiga akaun bank yang berbeza

berjumlah lebih kurang RM270,000.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu apabila suspek meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan sedangkan belum mendapat apa-apa keuntungan dari pelaburan ini.

Sementara itu, bagi di kes Daerah Sibu, katanya, seorang wanita berusia 30-an yang adalah seorang pakar kecantikan turut terpedaya dengan penipuan pelaburan terbabit.

"Pada 15 November lalu mangsa terima mesej dari suspek bernama Vincent

melalui aplikasi WhatsApp. Suspek menawarkan pelaburan pembelian Bitcoin berjumlah RM10,000.

"Mangsa akan dapat pulangan sekali ganda berjumlah RM20,000. Mangsa kemudian membuat 12 kali transaksi pindahan wang sebanyak RM120,000 secara berperingkat kepada lima akaun bank yang berbeza pada Khamis lalu.

Katanya, mangsa sedar ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang berserta keuntungan daripada pelaburan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 12:56 PM