GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosli Ilham


Dungun: Kira-kira 1,000 penduduk di empat kampung di kawasan Hulu Dungun terputus bekalan elektrik selepas beberapa pencawang elektrik ditenggelami banjir.

Empat kampung terbabit adalah Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Tepus dan Rantau Panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup bekalan elektrik secara berperingkat sejak petang tadi.

"Penduduk diharap bersabar kerana pihak TNB sedang berusaha bagi menyelesaikan masalah itu.

"Pihak TNB juga berusaha untuk menghantar generator di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang terbabit," katanya.

Susulan itu, Ghazali berkata, pihaknya terpaksa menggunakan radio amatur untuk berkomunikasi dengan penduduk.

"Jalan utama untuk ke kampung Kuala Jengai dan Kampung Jongok Batu tidak dapat dilalui dan bekalan makanan kepada mangsa banjir terpaksa dihantar menggunakan bot.

"Setakat ini keadaan banjir di Hulu Dungun terkawal dan bekalan makanan yang sedia ada masih mencukupi, pada masa sama kita bersedia menghantar bekalan makanan tambahan sekiranya diperlukan," katanya.

Katanya, keadaan banjir di kawasan Hulu Dungun itu turut menyebabkan Balai Polis Kuala Jengai, Sekolah Kebangsaan Pasir Raja serta Pondok Polis Pasir Raja turut ditenggelami air.

"Sehingga malam ini, sebanyak 31 PPS dibuka di daerah Dungun membabitkan 2,640 mangsa daripada 717 keluarga dan di kawasan Hulu Dungun ini 15 PPS dibuka membabitkan 1,200 mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 11:45 PM